Jual Beli Dalam Islam



Jual Beli Barang Kw Atau Bajakan Apa Hukumnya Dalam Islam

Jual Beli Dalam Islam

Oleh: Muhammad Shafiq Bin Adon

PENDAHULUAN

Jika dipandang dari sudut sejarah bahawa wujudnya JUAL BELI adalah sama dengan wujudnya masyarakat manusia di alam ini, oleh kerana kelahiran Jual Beli adalah berpunca dari keinginan manusia untuk mengendali sesuatu benda yang tidak ada padanya secara pertukaran dengan benda yang ada padanya. Pertukaran ini timbul dari hajat seseorang kepada benda tersebut sehingga ia rela menukar benda itu dengan apa yang dimilikinya. Tanpa Jual Beli mesti tidak dapat seseorang itu mengendali sesuatu barang yang bukan haknya kecuali secara mencuri, samun, rompak, meminta dan mengemis.

Sejak berzaman-zaman lagi manusia mengenali Jual Beli dengan berbagai-bagai cara atau sistem yang sesuai diamalkan mengikut zaman masing-masing dan adat resam tertentu yang membayangkan keperluan dan suasana hidup mereka di zaman itu. Mengikut hasil kajian pakar-pakar Ekonomi bahawa jenis-jenis atau sistem asasi bagi Jual Beli yang lahir di kalangan masyarakat manusia sejak turun-menurun adalah melalui perubahan/peralihan berikut:-

1. Pertukaran Barangan

Sistem ini adalah sistem yang tertua dikenali oleh umat manusia, yang mana seseorang yang memerlukan sesuatu barang ia mencari orang yang memiliki barang tersebut untuk ditukar dengan sesuatu barang yang dimilikinya.Sistem ini menghadapi kesulitan yang mana orang tersebut terpaksa mencari pemilik barang yang hendak dibeli itu dan orang yang kedua juga memerlukan barang yang orang pertamahendak menjualnya.Oleh yang demikian untuk mengatasi kesulitan ini munculah sistem Jualan Terbuka.

2. Jualan Terbuka

Iaitu sistem Jual Beli melalui matawang yang mana manusia mula mencipta matawang untuk menjadi bahan tukaran menggantikan barang yang hendak ditukar dengan barang.Melalui matawang seseorang boleh membeli apa sahaja bahan yang ia perlu tanpa menukar dengan barang yang ada padanya dan juga tanpa menunggu adanya orang yang memerlukan barang tersebut, dan menjual barang yang dimilikinya dengan matawang yang boleh disimpan.

3. Pertukaran Matawang

Matawang yang dicipta mempunyai berbagai-bagai bentuk yang menunjukkan nilai harganya yang berlainan, dari jenis logam tertentu, dari sini munculnya keperluan seseorang kepada satu jenis matawang dengan nilai tertentu untuk memenuhi hasrat tertentu.Bagi memperolehi jenis matawang itu terpaksalah ia menukar jenis matawang yang ada padanya dengan jenis matawang yang diperlunya, sistem ini dikenali dengan Julai Beli Matawang atau Pertukaran Matawang.

4. Jual Salam

Asal usul Jual Beli dilakukan dengan secara tunai (pertukaran segera), akan tetapi hajat dan keperluan manusia tidak selalunya tercapai dengan segera, oleh itu perlu adanya sistem penangguhan di dalam melaksanakan Jual Beli tertentu, maka Jual Beli yang ditangguh penyerahan barang yang dijual dinamakan Salam atau Salaf.

TAKRIF JUAL BELI

Jual Beli iaitu Pertukaran Harta dengan Harta, atau Pertukaran Harta dengan harta dengan cara tertentu.

-Dimaksudkan dengan Harta atau Mal ialah barang yang berharga atau bernilai termasuk matawang.

Dari segi Akad bahawa Jual Beli terbahagi kepada dua bahagian, iaitu :-

i. Jual Beli yang Sah Akadnya iaitu yang sempurna rukun, syarat dan tidak berlaku perkara yang ditegah oleh Syarak berkaitan dengan Akad.

ii. Jual Beli yang tidak Sah Akadnya iaitu yang kurang rukun atau syarat, atau terdapat perkara yang ditegah oleh Syarak yang berkaitan dengan Akad.

Erti Rukun

Ciri-ciri terpenting bagi wujudnya sesuatu amalan atau pekerjaan. Dengan wujudnya rukun maka wujudlah amalan itu dan dengan ketiadaan rukun tidak wujudlah amalan tersebut umpamanya tanpa pembeli tidak wujudlah Jual Beli.

Erti Syarat

Ciri-ciri yang menentukan Sah atau Tidak Sah sesuatu amalan atau pekerjaan. Tanpa syarat yang sempurna maka tidak sah amalan berkenaan sekalipun dengan ada rukun yang lengkap padanya, umpamanya si penjual seorang yang gila, maka tidak sah jual beli tersebut oleh kerana syarat sah jual beli hendaklah kedua belah pihak terdiri dari orang yang berakal.

Pembahagian Jual Beli seperti di atas memberi kesan kepada pemindahan Hak Milik penjual kepada pembeli dan sebaliknya yang mana hanya pemindahan Hak Milik dari Akad Jual Beli yang sah sahaja diakui oleh Syarak.

RUKUN JUAL BELI

 Penjual iaitu : Tuan punya barang

 Pembeli iaitu : Tuan punya wang

 Barang yang dijual

 Harga

 Sighah

Erti Sighah:-

Perkataan yang dilafazkan oleh kedua belah (penjual dan pembeli atau wakil mereka) sebagai tanda persetujuan mereka bagi melangsungkan jual beli tersebut. Ucapan yang pertama dilafazkan sama ada dari penjual atau pembeli, dinamakan Ijab dan yang kedua, sebagai jawapan kepada yang pertama dinamakan Qabul.

HUKUM JUAL BELI

Hukum Jual Beli adalah Halal dalam Islam sekiranya sempurna Rukun yang tersebut di atas dan syarat-syarat yang berkaitan dengan Rukun tersebut. Firman Allah s.w.t.

Bermaksud:-

“Pada hal Allah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.:

(Surah Al-Baqarah ayat 275)

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda ketika menjawab soalan tentang jenis pekerjaan yang lebih baik

maksudnya:

“Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap jual beli yang bersih.”

Dimaksudkan dengan “bersih” ialah yang lengkap dengan syarat-syarat, oleh kerana syarat yang ditetapkan oleh Syarak itu adalah untuk mengelak dari berlakunya perkara-perkara yang dilarang oleh Islam seperti penipuan, paksaan, perjudian, riba dan sebagainya.

Syarat Bagi Penjual / Pembeli

• Hendaklah kedua-duanya terdiri dari mereka yang boleh dipertanggungjawab iaitu sempurna akal fikiran, cukup umur, pintar. Bagi mereka yang tidak memenuhi syarat ini seperti; orang gila, kanak-kanak, dan yang lemah akal maka hendaklah bapa atau penjaga mereka menjalankan upacara Jual Beli itu bagi pihak mereka.

• Tidak disekat dari menguruskan mua’amalat. Mereka yang disekat dari menguruskan mua’amalat ialah orang yang safih iaitu membelanjakan hartanya dengan cara membazir atau tidak munasabah, dan muflis iaitu orang yang disekat dari menjalankan mua’amalat kerana hutang yang berlebihan atau bankrap.

• Tidak dipaksa oleh mana-mana pihak bagi menjalankan Akad tersebut, oleh kerana keredhaan atau kerelaan adalah menjadi dasar Jual Beli dalam Islam sepertimana firman Allah s.w.t.

bermaksud:-

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu”.

(Surah An-Nisa’ : ayat 29)

Oleh itu sebarang Jual Beli yang dilakukan dengan paksaan ke atas penjual atau pembeli dari mana pihak jua adalah tidak sah dan tidak berhasil pemindahan hak milik kedua belah pihak (penjual dan pembeli).

Syarat Bagi Sighah (Ijab / Qabul)

Tujuan diadakan Ijab / Qabul ialah untuk melahirkan kerelaan / keredhaan kedua belah pihak (penjual / pembeli) yang menjalani Akad berkenaan serta menerima implikasinya. Oleh yang demikian setiap perkataan / tulisan / syarat (bagi yang bisu) hendaklah memberi kefahaman bahawa Jual Beli berkenaan telah dilaksanakan dengan berlakunya Akad tersebut seperti dengan menggunakan perkataan: Saya jual / saya beli dan perkataan yang seumpamanya yang mempunyai erti Jual Beli.

• Syarat ini juga ada hubungannya dengan syarat “tidak dipaksa” iaitu Ijab Qabul yang terbit dari penjual dan pembeli atau wakil mereka tidak berlaku dengan secara paksa

• Adalah sempurna Ijab / Qabul dengan perkataan / tulisan / isyarat yang boleh difaham sebagai berjanji hendak menjual / membeli seperti: Saya akan menjual / akan membeli atau menyuruh seperti juallah / belilah

• Perbezaan antara Perjanjian Jual Beli dengan Akad Jual Beli iaitu kedudukan Perjanjian samalah dengan Pertunangan dalam nikah kahwin, yang mana salah satu pihak belum diberi kuasa memindah milik atau kuasa memiliki hak milik pihak yang satu lagi semata-mata dengan melalui perjanjian tersebut, adapun Akad , sama ada Jual Beli atau nikah, iaitulah kata pemutus kedua belah pihak, yang memberi kesan di atas bahan atau diri yang diakadkan dari segi kuasa atau pemindahan milik ; umpamanya dengan selesainya akad nikah kedua pasangan yang dinikahkan itu telah menjadi halal untuk hidup sebagai suami isteri, begitu juga dengan selesai akad jual beli si pembeli menjadi tuan punya barang yang dibelinya.

• Sah Ijab / Qabul tanpa sebuatan dan memadai dengan mengambil barang serta membayar wang mengikut harga yang ditetapkan. Jualan seperti ini terkenal dengan nama Bai’ut Ta’ati dan berlaku pada bahan-bahan yang rendah harganya seperti bahan keperluan harian dan yang telah diletak tanda harga.

• Pada zaman sekarang banyak berlaku Bai’ut Ta’ati khususnya di pusat-pusat membeli belah, yang mana setiap barang jualan dilekatkan penunjuk harga, setiap pengguna mengambil barang yang diperlukan dan membawa ke kaunter pembayaran, dijumlah harga barang-barang itu lalu dibayar oleh pengguna itu. Jualan seperti ini adlaah sah di sisi Syarak oleh kerana telah tercapai persetujuan kedua belah pihak iaitu penjual (tuan punya barang) yang meletak barang nya di tempat itu dengan tanda harga untuk dijual, dan pembeli mengambil barang itu setelah dilihat harganya dan bersetuju membelinya, maka perbuatan tersebut membuktikan persetujuan kedua belah pihak untuk berjual beli barang tersebut.

• Ada barang yang mahal harganya seperti rumah, tanah dan sebagainya perlulah mengadakan Ijab / Qabul yang khusus bagimya untuk mengelak dari pertelingkahan yang tidak boleh diselesaikan.

• Hendaklah diselaraskan kandungan Ijab / Qabul dari segi sebutan barang, harga dan sebagainya.

• Tidak sah Akad Jual Beli yang Ijab / Qabulnya tidak selaras misalnya; si penjual menyebut harga barang itu $50.00 dan si pembeli mengqabulkannya dengan harga $40.00 maka Akad tersebut tidak sah oleh kerana tidak tercapai kata sepakat / persetujuan di antara kedua belah pihak.

• Boleh dijual beli beberapa jenis barang dengan hanya satu Akad sahaja sama ada diterangkan harga bagi tiap-tiap jenis atau tidak. Di dalam keadaan seperti ini si pembeli hendaklah menerima semua barang tersebut.

Majlis Akad

• Pertemuan antara kedua belah pihak (penjual dan pembeli) untuk menjalankan Akad Jual / Beli di atas barang tertentu. Majlis Akad tidak semestinya dalam satu bilik atau dewan bahkan boleh di mana-mana sahaja.

• Pertemuan ini tidak semestinya secara menghadirkan diri di suatu tempat tertentu; akan tetapi boleh berlakunya Akad melalui surat, maka Majlis Akad bermula sebaik sahaja surat tersebut diterima oleh pihak kedua dan selesai membacanya; telefon, maka majlis bermula dengan penerimaan panggilan dari pihak kedua.

• Berakhirnya Majlis Akad dengan berpisahnya diri kedua belah pihak (penjual dan pembeli), beredarnya pihak kedua dari tempat bermulanya Majlis Akad melalui surat atau telex dan memutuskan hubungan telefon oleh salah satu pihak.

• Oleh yang demikian tidak berakhir Majlis Akad selagi kedua-dua belah pihak tidak berpisah sekalipun mereka bersama-sama meninggalkan tempat tersebut dan bersama-sama pergi ke tempat lain.

• Adapun Akad melalui surat dan telex maka tempat yang bermulanya Akad sahaja dikira Majlis Akad.

• Perlunya dihadkan Majlis Akad adalah untuk tujuan :-

1. -Memberi masa kepada pihak kedua untuk berfikir sama ada hendak menerima atau tidak jual / beli berkenaan setelah diijab oleh pihak pertama. Sekiranya dipilih menerima bolehlah ia mengqabulkan Ijab tersebut selagi mereka berada di Majlis Akad walau berapa lama sekalipun jarak masa antara Ijab dan Qabul itu.

2. -Memberi peluang kepada pihak pertama untuk menarik balik Ijabnya sebelum diqabulkan oleh pihak kedua.

3. -Kedua belah pihak boleh membubarkan Akad Jual Beli mereka selagi masih berada dalam Majlis Akad.

• Semua Akad Jual Beli mula berjalan kuatkuasanya sebaik sahaja kedua belah pihak bersetuju tidak ada pilihan yang lain dari Akad tersebut atau dengan perpisahan mereka dari Majlis Akad setelah selesainya Ijab/Qabul.

• Sebarang syarat yang dibuat semasa Ijab / Qabul yang mendatangkan manfaat dan tidak bercanggah dengan dasar Jual Beli adalah diterima, ini berdasarkan kepada kaedah.

sabda Rasulullah s.a.w.

yang bermaksud : - Orang-orang Islam berpegang kepada syarat-syarat mereka kecuali syarat yang menghalalkan perkara yang haram atau mengharamkan perkara yang halal(3),seperti :-

1. Syarat yang ada kaitan dengan Akad itu sendiri; umpamanya syarat tidak menyerah barang sehingga pembeli menjelaskan semua harga barang tersebut.

2. Syarat yang memperkuatkan lagi implikasi Akad umpamanya bagi menjamin hak penjual, mengenai pembayaran harga dalam jualan tangguh, maka penjamin hendaklah terdiri dari individu tertentu.

3. Syarat-syarat yang biasanya dikenakan mengikut Uruf masyarakat / perniagaan di zaman tertentu, umpamanya mensyaratkan bayaran dengan melalui Letter of Credit di kalangan peniaga-peniaga. Ini berdasarkan kepada kaedah.

Syarat Bagi Barang Yang Dijual

 Barang yang hendak dijual mestilah ada pada masa Akad dijalankan sekalipun tidak dihadirkan barang itu di Majlis Akad (kecuali Jual Salam).

 Pada asalnya jual beli adalah secara tunai, akan tetapi setelah menempuhi beberapa masalah dan perubahan dalam masyarakat maka munculnya Jual Salam iaitu jualan dengan ditangguh penyerahan barang hingga pada masa tertentu, dan jualan Dengan Bayaran Harga Tangguh.

 Sejak masa kebelakangan ini kita berhadapan dengan satu lagi jenis jual beli, yang mana barang yang hendak dijual belum ada di waktu Akad dan akad diproses berikutan dengan Akad tersebut, dan sebahagian dari harganya dibayar semasas Akad adapun yang bakinya dibayar sewaktu penyerahan barang atau semasa barang itu diproses dengan cara berperingkat, maka jualan seperti ini dinamakan iaitu : Tempahan dan hukumnya adalah Sah (1).

 Penjual berkuasa menyerahkan barang itu kepada pembeli. Oleh yang demikian tidak sah menjual barang yang tidak dimiliki oleh si penjual sama ada barang tersebut tidak dimiliki oleh sesiapa, seperti burung yang sedang terbang bebas, atau yang dimiliki oleh orang lain; jualan ini terkenal dengan nama Al Fudhuli, kecuali jika diwakili oleh tuannya untuk dijual.

 Barang itu terdiri dari Harta yang bernilai.

Dimaksudkan dengan “harta yang bernilai” ialah sesuatu barang yang boleh memberi manfaat kepada pemberi atau orang lain sama ada semasa membelinya atau di masa akan datang, dan penilaian tersebut diakui oleh Syarak, oleh itu tidak sah jual beli bahan najis yang tidak boleh dibersihkan seperti arak dan sebagainya dan bahan yang diharamkan, oleh kerana bahan, najis dan bahan yang haram tidak dianggap harta di sisi Syarak, begitu juga bahan yang tidak ada manfaat(1).

 Barang itu adalah jelas pada pengetahuan pihak pembeli sama ada dilihatnya atau contohnya semasa Akad atau sebelumnya, sekiranya barang itu tidak mungkin berubah sifat, atau dengan dijelaskan sifatnya semasa Akad.

Syarat Bagi Harga

• Harga barang yang dijual hendaklah disebut semasa Akad.

• Hendaklah dijelaskan jenis matawang kecuali jika wang tersebu dilihat semasa Akad, maka memadai dengan ditunjuk sahaja.

• Boleh dijual barang dengan bayaran harga tangguh dengan syarat :-

 Jelas tempoh pembayaran dan cara-caranya.

 Permulaan tempoh dikira dari tarikh penyerahan barang yang dijual

 Tidak boleh diikatkan tempoh kepada musim yang tidak tetap.

Nota: Penangguhan penyerahan barang yang dijual hingga ke masa yang ditetapkan sahaja seperti Jual Salam adalah sah, atau penangguhan pembayaran harga juga sah. Akan tetapi penangguhan penyerahan barang dan pembayaran harga di dalam satu Akad jual beli adalah tidak sah, Oleh kerana Rasulullah s.a.w. menegah jual beli tangguh dari kedua belah pihak (penjual dan pembeli).

• Kuasa penjual ke atas harga bermula sebaik sahaja selesai Akad sekalipun belum diserahkan kepadanya, oleh yang demikian bolehlah ia memindahkan pembayaran harga itu kepada orang lain secara Hiwalah.

• Serah menyerah tidaklah menjadi syarat jual beli, akan tetapi tidak selesai sesuatu upacara jual beli tanpa serah menyerah barang yang dijual kepada pembeli. Selesai serah menyerah barang yang dijual kepada pembeli. Selesai serah menyerah dengan izin penjual kepada pembeli untuk mengambil barang yang dijual tanpa sebarang gangguan, dengan yang demikian, dianggap pembeli mengambil barang tersebut.

Berhasilnya penyerahan dengan berbagai cara :-

 Penyerahan tanah memadai dengan keizinan penjual kepada pembeli bagi mengendalinya.

 Penyerahan rumah atau kawasan yang berpagar dengan masuk / beradanya pembeli dalam kawasan tersebut. Adapun rumah adalah dengan menyerah kunci kepada pembeli.

 Penyerahan binatang ternakan yang jinak dengan memegang kepala atau telinganya atau talinya dan diserah kepada pembeli. Adapun yang liar memadai dengan izin penjual kepada pembeli mengambilnya dengan apa cara jua.

 Penyerahan bahan-bahan sukatan hendaklah disukat, timbangan dengan ditimbang atas arahan pembeli dan dimasukkan ke bekasnya untuk dikendalikan oleh pembeli.

 Penyerahan juga berhasil dengan diberi barang itu oleh penjual kepada pembeli atau diambil oleh pembeli tanpa sebarang halangan dari penjual.

• Cara-cara serah menyerah seperti yang tersebut di atas adalah cara yang dilaksanakan sejak zaman yang lampau. Cara penyerahan mungkin berubah dari satu masa ke satu masa mengikut adat kebiasaan atau Uruf pada masa tersebut, oleh yang demikian Syarak menerima cara serah menyerah yang baru itu berdasarkan kepada kaedah :-

Ertinya :- Tidak disangkal perubahan hukum-hukum dengan sebab perubahan masa

• Oleh itu penyerahan tidaklah terhad dengan cara tertentu sahaja untuk setiap generasi di setiap zaman dalam semua keadaan , oleh kerana tujuan dari serah menyerah ialah : Pengendalian pembeli terhadap barang yang dibeli itu dengan sepenuhnya, setelah berlakunya pemindahan hak milik melalui Akad jual beli, tanpa sebarang halangan atau gangguan dari pihak penjual. Maka tujuan tersebut berhasil dengan apa cara jua sama ada perbuatan, perkataan, atau tulisan, dengan secara demikian hasrat penjual dan pembeli tercapai dengan sepenuhnya.

• Penjual berhak menahan barang yang dijual dari diserahkan kepada pembeli dalam keadaan jualan tunai sehingga pembeli menyerah harga barang tersebut sepenuhnya. Ada pun dalam jualan tangguh, penjual tidak berhak berbuat demikian, begitu juga sekiranya jualan tunai diubah menjadi jualan tangguh.

• Oleh kerana di dalam jualan tunai serah menyerah hendaklah disegerakan supaya kedua belah pihak (penjual dan pembeli) dapat mengendalikan hak masing-masing sepenuhnya, maka tanpa penyerahan harga dengan sepenuh bererti hak penjual ke atas barang tersebut sehingga selesai pembayaran harga dengan sempurna. Adapun berkenaan dengan jual tangguh yang mana penjual tidak berhak menahan penyerahan barang oleh kerana ia telah bersetuju dengan penangguhan bayaran harga hingaa ke tarikh yang ditetapkan, maka gugurlah haknya untuk menahan penyerahan barang tersebut atas dasar bayaran harga belum selesai.

• Tempat penyerahan barang yang dijual ialah di mana berlakunya upacara Akad, kecuali jika dipersetujui bahawa penyerahan dilakukan di tempat lain maka barang itu hendaklah diserah di tempat yang dipersetujui.

• Semua perbelanjaan yang berhubung dengan pembayaran harga adalah ditanggung oleh pembeli, dan semua perbelanjaan yang berhubung dengan penyerahan barang ditanggung oleh penjual; kecuali ada persetujuan selain dari yang tersebut maka hendaklah diikut butir-butirnya.

• Lain-lain perbelanjaan untuk menyelesaikan urusan jual beli seperti perkara-perkara yang berhubung dengan pendaftaran, cukai setem dan sebagainya adalah mengikut kebiasaan / Uruf yang dijalankan di dalam masyarakat tertentu sama ada di tanggung oleh penjual atau pembeli atau ditanggung bersama, kecuali pada perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua belah pihak maka wajib ditepati perjanjian tersebut.

• Sekiranya berlaku kemusnahan ke atas barang yang dijual sebelum diambil alih oleh pembeli, maka ditanggung oleh penjual. Adapun selepas diambil alih maka menjadi tanggungan pembeli. Ini adalah salah satu kesan daripada serah menyerah , oleh kerana barang tersebut sebelum dikendalikan oleh pembeli adalah menjadi tanggungjawab penjual walaupun barang itu telah berpindah milik dengan selesainya Akad.

• Sekiranya berlaku kemusnahan ke atas barang yang hendak dijual di tangan pembeli semasa tawar menawar, sebelum Akad, pada hal harganya telah ditetapkan oleh penjual, maka hendaklah diganti oleh pembeli, dan sekiranya harga belum ditetapkan oleh penjual, maka pembeli tidak dikenakan ganti kecuali jika kemusnahan tersebut disengajakan oleh pembeli.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin

Pensyarah Tamadun Islam

Universiti Teknologi MARA Perlis

02600 Arau

Perlis

MALAYSIA

P: 04-9882701

H: 013-4006206

E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my

W: abdazizharjin.blogspot.com

Gallery Jual Beli Dalam Islam

Landasan Hukum Rukun Dan Syarat Jual Beli Dalam Islam

Hukum Jual Beli Dalam Islam Gomuslim

Macam Macam Jual Beli Ppt Download

Makalah Hukum Jual Beli Dalam Islam

Jual Beli Yang Dilarang Dalam Islam Pdf Abu Zubair

Khiyar Memilih Dalam Jual Beli Menurut Islam Baitul Maqdis

Jual Imtima Mengenal Jual Beli Menurut Islam By Sopandi Buku

Jual Beli Dalam Islam Menurut Bahasa Pengertian Jual Beli

Ini Pengertian Jual Beli Yang Kadang Salah Diartikan Umroh Com

Jual Beli Dalam Islam Pengertian Dalil Syarat Dan

Detail Product Surya Grafika Mandiri

Makalah Jual Beli Dalam Islam Download Doc Pdf Lengkap

Sering Jual Beli Online Begini Hukumnya Dalam Islam

Hukum Jual Beli Dalam Islam Gomuslim

Yuk Pahami Adab Jual Beli Dalam Islam Republika Online

Konsep Hukum Jual Beli Dalam Islam Ushul Fiqih Radio

Majelis Al Barokah Semarang Kajian Jual Beli Dalam Islam

Fikih Jual Beli Yang Diharamkan Dalam Islam Tauhid Or Id

Hukum Jual Beli Dalam Islam Sahkah Jual Beli Tanpa Ada Niat Ustadz Ammi Nur Baits

Prinsip Jual Beli Dalam Islam By Adinda Dj On Prezi

Syarat Dan Rukun Jual Beli Menurut Islam

Haramnya Akad Bermasalah Dalam Jual Beli Property Syariah

Jual Beli Zaman Now Dropship Dan Hukumnya Dalam Islam

Akad Jual Beli Dalam Islam Archives Rumahhasanah Net

Jenis Jenis Jual Beli Dalam Islam

Contoh Dakwah Islam Menebar Islam Rahmatan Lil Alamin

Jual Beli Dalam Pandangan Islam Ppt Download


0 Response to "Jual Beli Dalam Islam"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel